PM umum tambang percuma MRT Laluan Putrajaya hingga 31 Mac 2023
Ridauddin Daud
Mac 16, 2023 10:32 MYT
Mac 16, 2023 10:32 MYT
SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma untuk perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) untuk Laluan Putrajaya.
Menurutnya, tambang percuma itu melibatkan semua 36 stesen dalam laluan itu dari Stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.
Tambah Perdana Menteri, tawaran itu berkuatkuasa jam 3 petang pada 16 Mac hingga 31 Mac 2023.
Perdana Menteri membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembukaan MRT Laluan Putrajaya di sini pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anwar, Anthony dan beberapa menteri kemudian menaiki sebuah tren MRT untuk ke Putrajaya Sentral, simbolik perkhidmatan tersebut dilancarkan secara rasminya.
"Alhamdulillah baik…dan kita ajak rakyat gunakan dulu secara percuma hingga 31 Mac.
"Saya tanya dari segi penyelenggaraan, dari segi pengawasan pengawalan kebersihan.
*Semua dikawal cuma kita minta pengguna juga bagi kerjasama dan Kementerian Pengangkutan sedang merangka strategi supaya pengangkutan awam itu menjadi suatu pengangkutan utama memudahkan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menaiki tren tersebut dari Depoh MRT Serdang ke Stesen Putrajaya Sentral.
Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua akan mula beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang ini.
Laluan perkhidmatan awam itu yang bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral adalah projek kedua MRT Lembah Klang yang akan memberi manfaat kepada dua juta pengguna dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya.
Keseluruhan Laluan Putrajaya merangkumi 57.7 km yang terdiri daripada 36 stesen, meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya, dan Putrajaya.
Laluan itu mempunyai 10 stesen pertukaran dan sambungan di sepanjang jajaran 17 stesen akan mempunyai kemudahan letak kereta dengan jumlah 5,870 ruang parkir.