PM umum tambahan RM200 juta perkasa program TVET
Madiha Abdullah
Jun 8, 2024 12:10 MYT
Jun 8, 2024 12:10 MYT
BANTING: Kerajaan mengumumkan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 13,000 orang pelajar.
Ringkasan AI
- Kerajaan umumkan pembiayaan tambahan RM200 juta untuk program TVET.
- Pembiayaan ini akan dimanfaatkan oleh kira-kira 13,000 pelajar dalam bidang seperti peralihan tenaga, teknologi dan digital, serta pertanian.
- Pembiayaan ini bertujuan memperkuat sektor industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi serta menyokong peluang pekerjaan dalam Revolusi Industri 4.0.
Pembiayaan tambahan ini akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi program TVET dalam bidang berasaskan peralihan tenaga; industri berasaskan teknologi dan digital; industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi; pertanian dan industri asas tani; serta industri nadir bumi.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Hari TVET Negara (HTN) 2024, pada Sabtu.
"Saya percaya ini disalurkan menerusi PTPK tapi saya serah kepada Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan untuk memutuskan keutamaan kerana kita nak (perkasa) bidang kenderaan elektrik (EV); keselamatan siber; kecerdasan buatan (AI); bahan termaju (advanced materials); teknologi elektronik mekanisasi ladang; dan automasi pertanian dan penternakan
"Jadi kita luluskan peruntukan tambahan ini... yang lain-lain yang dicadangkan tambahan untuk OKU, untuk orang asal, itu saya percaya selari dengan dasar kerangka ekonomi Madani.
"Saya fikir tiada masalah dan kita boleh luluskan kerana Timbalan Perdana Menteri mempunyai mandat penuh daripada Jemaah Menteri untuk laksanakan TVET dan beliau telah melakukan dengan jayanya dan membanggakan kita," katanya.
Pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Ia akan usaha mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.