PM umum peruntukan tambahan RM1 juta untuk tabung Kasih@HAWANA

Bernama
Mei 27, 2024 17:34 MYT
Anwar (tiga, kanan) pada majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024. -Bernama
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA pada tahun depan.
Beliau menyampaikan khabar gembira itu pada majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini.
"Saya nak sambung sebab tahun lepas saya umum untuk Tabung Kasih@HAWANA RM1 juta, jadi saya akan terus dengan peruntukan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA," katanya dalam ucapan perasmian.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Ammar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Ching.
Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu, Arul Rajoo Durar Raj.
Ketika merasmikan HAWANA 2023 di Ipoh, Perak, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk tabung berkenaan.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapan alu-aluan berkata setakat ini, seramai 102 bekas petugas dan pengamal media yang memerlukan bantuan telah dibantu sejak inisiatif itu diperkenal tahun lepas.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan HAWANA 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih berkhidmat atau sudah bersara, yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama bagi menyantuni wartawan dan petugas media sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara.
Sambutan HAWANA adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi tahun ini berlangsung di Sarawak dan mengangkat tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan.'
Kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pengamal media tempatan dan antarabangsa termasuk wakil persatuan serta kelab media dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu lepas.
Perhimpunan wartawan Malaysia ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Hawana #peruntukan tambahan #Sambutan Hari Wartawan Nasional
;