PM umum peruntukan RM3 juta kepada BSMM

Umavathi Ramayah
Mei 5, 2023 11:50 MYT
Anwar berkata, BSMM juga terus menyantuni projek pasca bencana dan pandemik sehingga kini seperti bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bersempena dengan ulang tahun ke-75 Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk terus memperkasakan badan itu.
“Alhamdulillah, saya gembira mengumumkan bahawa sempena sambutan ulang tahun ke-75 ini, kerajaan bersetuju meluluskan beberapa peruntukan seperti berikut.
“Pertama, sebanyak RM1 juta setahun untuk perkhidmatan ambulan kecemasan 999 dikembalikan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kedua, geran persediaan menghadapi bencana sebanyak RM1 juta di peruntukkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA dan RM1 juta juga akan disalurkan untuk persiapan pembangunan kapasiti di ibu pejabat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-75 dan ibu pejabat kebangsaan BSMM di sini, pada Jumaat.
Perdana Menteri menambah, sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, ia perlu terus mempromosikan masyarakat yang adil dan mempunyai nilai hormat, keyakinan dan ihsan.
“BSMM adalah contoh cemerlang bagi sebuah organisasi dan ianya hanya boleh dicapai dengan adanya dedikasi, komitmen yang tinggi serta semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
“Saya kagum dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli BSMM dan ia sepatutnya dicontohi oleh semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Anwar berkata, BSMM juga terus menyantuni projek pasca bencana dan pandemik sehingga kini seperti bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.
Justeru beliau berharap program terbabit dapat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, agama ataupun kaum. Program sedemikian dapat membantu membentuk minda masyarakat Malaysia yang penyayang.
“Falsafah ini juga bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang bermatlamat untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan di antara satu sama yang lain,” jelasnya.
#Bulan Sabit Merah Malaysia #Anwar Ibrahim #peruntukan #ulang tahun ke-75
;