PM umum peruntukan awal RM1 juta untuk Tabung KASIH Rahmah Wanita
Ridauddin Daud
Mac 8, 2023 17:21 MYT
Mac 8, 2023 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan permulaan berjumlah RM1 juta untuk Tabung KASIH Rahmah Wanita.
Peruntukan itu adalah bagi membantu golongan wanita yang dalam keadaan terdesak seperti mangsa keganasan rumah tangga dan wanita diabaikan keluarga.
Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada Rabu.
"Tabung Kasih Rahmah Wanita ini yang dicadangkan kementerian, maka saya akan…ini termasuk beberapa isu tertentu khusus yang mendesak yang tidak masuk dalam KASIH (tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023).
"Kementerian mohon supaya kita sediakan wang peruntukan kecil permulaan supaya dapat diberikan bantuan segera.
"Saya luluskan RM1 juta untuk tujuan tersebut," katanya dalam ucapan tersebut.
Turut hadir dalam majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut Anwar, pelaksanaan tabung itu diharap dapat menggalakkan lebih banyak pihak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sekali gus lebih banyak program pemerkasaan wanita dapat ditambah baik.
Perdana Menteri turut bersetuju memberikan peruntukan permulaan sebanyak RM500,000 kepada Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurutnya, peruntukan itu bagi membolehkan usaha penyelidikan dilakukan bagi memperkasa golongan wanita di Malaysia.
"Selainnya, ada juga tanggungjawab korporat sosial (CSR) dan advokasi antigangguan seksual itu dibentangkan (di Parlimen).
"Saya percaya rakan-rakan Ahli Parlimen akan berikan perhatian," ujarnya.