PM umum Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 5, 2022 21:35 MYT
Ismail Sabri berkata, DBKL juga akan membina 5,000 council home dengan keluasan minimum 750 kaki persegi untuk disewakan kepada warga kota. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat terutamanya warga bandar raya ini.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur malam ini.
"Dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sedang dan akan melaksanakan perkara-perkara yang berikut... Pertamanya bagi menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.
"Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaik taraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.
"Selain itu, DBKL kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar. (Ia) bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan lebih selesa," katanya.
Selain itu, katanya DBKL juga akan membina 5,000 ‘council home’ dengan keluasan minimum 750 kaki persegi untuk disewakan kepada warga kota.
Beliau berkata, DBKL juga akan melaksanakan pembaikan lif melibatkan 306 lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam (PPR/PA) yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Katanya, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian, pelbagai inisiatif juga akan dilakukan termasuklah kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam.
"Keputusan status permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil juga akan dipercepatkan iaitu dalam tempoh tiga hari.
"Untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, insentif pembayaran yang melibatkan semua fi permohonan, akan diberikan rebat 10 peratus sepanjang tahun 2022," katanya.
#Perdana Menteri #Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur #PKKMKL #DBKL
;