PM umum 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, wujud landskap politik baharu
Astro Awani
September 10, 2021 19:12 MYT
September 10, 2021 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Ini selaras dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
PM Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.
Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.
Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa, kata kenyaatan itu.
Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi:
1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen;
2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang- Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan;
3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun;
4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang;
5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama;
6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan; dan
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia. Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Keabsahan PM | Tiada keperluan usul undi percaya terhadap PM - Wan Junaidi