PM ucap terima kasih pada Jokowi kembalikan kapal 'Equanimity' kepada Malaysia

Astro Awani
Ogos 6, 2018 18:17 MYT
Kapal Equanimity itu disita di Bali awal tahun ini, kepada kerajaan Malaysia. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana bekerjasama dalam mengembalikan kapal mewah, Equanimity kepada Kerajaan Malaysia.
Penghargaan itu disampaikan Perdana Menteri menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook dan Twitter peribadinya.
"Saya ucap terima kasih kepada Indonesia kerana memberi kerjasama yang erat dengan Malaysia dalam menyelesaikan satu daripada masalah yang kita hadapi kerana kita percaya bahawa kapal ini adalah milik kerajaan Malaysia kerana ia dibeli dengan duit kerajaan Malaysia yang dicuri oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam video tersebut, Dr Mahathir turut mencabar pihak yang mendakwa kapal Equanimity milik mereka untuk membuktikan dakwaan itu.
"Kita ingin tahu dari mana mereka mendapat wang yang banyak untuk membeli kapal yang begitu mahal harganya, kalau mereka tidak dapat buktikan duit ini datang daripada diri mereka sendiri dan bukan duit yang dicuri," kata Dr Mahathir.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Indonesia kerana bekerjasama dalam mengembalikan kapal layar Equanimity kepada Kerajaan Malaysia.https://t.co/EcFguHqV6Q

— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) August 6, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Katanya, mengikut laporan dan siasatan awal Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, kapal berkenaan dibeli dengan wang yang dicuri dari syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Menurut DoJ, kapal ini dibeli dari wang yang dicuri daripada 1MDB yang cuba dibersihkan dengan membeli kapal dan bangunan-bangunan dan lain-lain supaya duit ini tidak lagi ternampak sebagai duit yang dicuri oleh mereka," tambahnya.
Kapal mewah itu dipercayai tiba di Pelabuhan Klang, Selangor sekitar jam 7 malam esok (Ogos 7) dari Batam.
Pada Sabtu, Indonesia bersetuju menyerahkan kapal mewah bernilai RM1 bilion yang disita di Bali, awal tahun ini kepada Malaysia.
Perdana Menteri kini berada di Fukuoka, Jepun untuk rangka lawatan tiga hari mulai 6 Ogos di negara Matahari itu.
Dr Mahathir turut ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan wakil dari Wisma Putra.
#1MDB #Department of Justice #DoJ #Equanimity #Facebook #Joko Widodo #Mahathir Mohamad #Twitter
;