PM ucap takziah pemergian Adibah Noor

Astro Awani
Jun 18, 2022 00:59 MYT
Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan. - Foto instagram/Ismail Sabri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor, yang meninggal dunia malam tadi.
Ismail Sabri menerusi hantaran di laman Instagramnya turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan.
“Takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan didoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Adibah Noor,” tulis beliau.
Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.
Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.
BACA: Adibah Noor meninggal dunia
Selebriti dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar itu berusia 51 tahun.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat pada jam 9 pagi Ahad, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sekitar jam 10.30 pagi.
#Perdana Menteri #PM #ucap takziah #Adibah Noor #ismail sabri yaakob
;