PM ucap takziah atas pemergian S. Subramaniam
Bernama
Julai 5, 2022 05:45 MYT
Julai 5, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Timbalan Presiden MIC Tan Sri S. Subramaniam, 78, yang meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berkata mendiang, yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara dan Ahli Parlimen Segamat, banyak menabur bakti kepada Keluarga Malaysia.
"Mendiang juga banyak berjasa kepada negara semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mendiang dan saya berharap semoga mereka tabah atas kehilangan orang yang tersayang," katanya.
Ahli Majlis Tertinggi MIC L. Sivasubramaniam, ketika mengesahkan berita duka tersebut, berkata mendiang yang pernah diserang strok pada 2011 dan terlantar sejak itu meninggal dunia dalam tidur pada kira-kira 8 malam.
-- BERNAMA