PM ucap tahniah Sudha Devi dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel

Nickyson Nyambar
Januari 13, 2023 21:44 MYT
Datuk Sudha Devi KR Vasudevan merupakan rakyat Malaysia dan wakil benua Asia pertama yang memegang jawatan itu sejak penubuhan yayasan tersebut pada 1966. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Sudha Devi KR Vasudevan yang dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel bagi penggal baharu selama dua tahun mulai 1 Januari 2023.
Menurut beliau, Sudha adalah merupakan rakyat Malaysia dan wakil benua Asia pertama yang memegang jawatan itu sejak penubuhan yayasan tersebut pada 1966.
"Pelantikan semula beliau sebagai pengerusi yayasan tersebut telah menerima sokongan secara konsensus dari kesemua 56 negara anggota komanwel.
"Tahniah Datuk Sudha Devi!," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Jumaat.
Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia itu kali pertama dipilih mengetuai yayasan itu pada 2020 melalui pemilihan yang berlangsung di London.
Menurut Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini, sebagai pengerusi Yayasan Komanwel, Sudha Devi akan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengelola, mewakili yayasan pada mesyuarat dan acara antara kerajaan dan berkhidmat sebagai duta untuk mempromosi visi dan nilai yayasan.
Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan rakyat, terutama melalui Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam membangunkan masyarakat demokratik.
Sepanjang tahun, yayasan telah menjalankan pelbagai program untuk menyokong suara awam dalam mempengaruh wacana awam mengenai isu seperti kesaksamaan jantina dan khidmat masyarakat.
Ia juga menawarkan geran kepada CSO negara anggota Komanwel yang berhasrat untuk menganjurkan program bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam mendukung tadbir urus, demokrasi dan hak asasi manusia.
#Perdana Menteri #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Datuk Sudha Devi KR Vasudevan #Pengerusi Yayasan Komanwel
;