PM ucap tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M
Bernama
Julai 7, 2024 16:06 MYT
Julai 7, 2024 16:06 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi yang masing-masing diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa bagi tahun 1446H/ 2024M.
Menerusi hantaran di Facebook Anwar juga menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan hari ini.
Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini yang bertemakan 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI' berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menerusi hantaran itu Perdana Menteri turut menyentuh erti hijrah yang menuntut pengorbanan dan perjuangan yang bererti, yang harus dimulakan oleh diri sendiri dengan merubah jiwa dan minda.
"Allah SWT meletakkan prasyarat Taghyir al-Nufus (perubahan jiwa dan minda) untuk merubah nasib bangsa ke arah Malaysia yang MADANI dan berketerampilan.
"Di sebalik maksud hijrah, tersirat makna harapan, terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan rakyat, dan harapan tersebut mesti terjelma dengan kerja keras dan dukungan rakyat terbanyak," katanya.
-- BERNAMA