PM ucap tahniah kepada Cikgu Nazmi disenarai 50 finalis Hadiah Guru Global
Bernama
Januari 16, 2025 08:30 MYT
Januari 16, 2025 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada seorang guru Malaysia, Muhammad Nazmi Rosli atas pengiktirafan sebagai antara 50 finalis Hadiah Guru Global 2025.
Menerusi hantaran di laman Facebook semalam, beliau berkata keikhlasan Muhammad Nazmi mendidik anak bangsa dengan menyuntik daya cipta dalam pendidikan di sekolah luar bandar di Sarawak adalah contoh kepimpinan pendidikan yang membanggakan.
"Pengiktirafan ini juga harus mencetus inspirasi buat para pendidik," katanya.
Muhammad Nazmi, 32, yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di Sarawak semalam diumumkan sebagai antara 50 finalis terbaik dari seluruh dunia untuk Hadiah Guru Global 2025.
Beliau sebelum ini pernah memenangi Hadiah Guru Malaysia 2023 kerana ikhtiarnya mendidik murid dengan membuat latihan simulasi dalam bilik darjah, antaranya memberikan pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan menggunakan bahan kitar semula.
-- BERNAMA