PM ucap tahniah kepada Azhar dipilih sebagai Speaker
Bernama
Julai 13, 2020 19:17 MYT
Julai 13, 2020 19:17 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Datuk Azhar Azizan Harun yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau pada Isnin, Muhyiddin merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad Ariff atas khidmat beliau sepanjang menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Azhar, 58, merupakan calon tunggal dikemukakan untuk memegang jawatan itu.
Muhyiddin mengusulkan pencalonan Azhar, mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Nga Kor Ming.
"Saya berdoa agar perjalanan Dewan Rakyat akan berlangsung secara adil, berpaksikan kepada Perlembagaan Negara," kata Muhyiddin selepas berakhir hari pertama persidangan Dewan Rakyat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi ciapan di Twitter turut mengucapkan tahniah kepada Azhar dan Azalina atas pelantikan mereka.
"Saya yakin dan percaya bahawa mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan adil dan saksama," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ciapan di Twitternya berkata Azhar perlu memastikan Dewan bersidang dengan baik, tanpa mengira bantahan yang disuarakan terhadap pemilihannya.
-- BERNAMA
#Azalina Othman
#Azalina Othman Said
#Datuk Azhar Azizan Harun
#Dewan Rakyat
#Muhyiddin Yassin
#Nga Kor Ming
#Parlimen
#Speaker