PM ucap Selamat Tahun Baharu Cina, tampil dengan kisah arnab
Bernama
Januari 20, 2023 23:35 MYT
Januari 20, 2023 23:35 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di negara ini yang akan menyambut perayaan itu Ahad ini.
Beliau menyifatkan perayaan besar di negara ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyemai semangat perpaduan dan saling mengenali.
"Elemen kerukunan dan toleransi antara kaum adalah pengikat yang nyata dalam membawa negara ini ke depan.
"Mewakili seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa, saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2023 kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau malam ini.
Anwar turut memuat naik sebuah video memaparkan kisah seekor arnab putih bernama Miki yang gagah meneruskan perjalanan untuk terus bernafas walaupun penat yang memungkinkan ia untuk menyerah tetapi menunggu untuk sinar harapan.
Video berdurasi 1.14 minit itu turut memberi mesej kepada semua rakyat di Malaysia yang menempuh pelbagai cabaran dan dugaan selama ini yang mencari sinar harapan agar tidak boleh mengalah sebaliknya bangkit dengan semangat perpaduan.
Perdana Menteri dirakam memegang arnab itu sambil berkata "Sebagai satu negara merdeka, sudah matang dan dewasa, wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia tercinta."
Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Jan ini.
Dalam kalendar Cina, terdapat 12 binatang mewakili zodiak pada setiap tahun dan tahun ini merupakan giliran arnab.
-- BERNAMA