PM ucap selamat menyambut Thaipusam

Astro Awani
Januari 27, 2021 00:09 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu. - Gambar/ Facebook@Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada penganut agama Hindu kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menyambut Thaipusam mengikut norma baharu di kediaman masing-masing.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan terpaksa menetapkan sambutan Thaipusam kali ini dibuat secara sederhana tanpa perarakan besar seperti tahun-tahun sebelumnya, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
"Pada kebiasaannya upacara ini disambut di Malaysia dengan perarakan penganut agama itu ke kuil-kuil Hindu membawa pedati arca Dewa Murugan, kavadi dan juga 'paal koodam' yang mengandungi susu," jelas Ahli Parlimen Pagoh itu menerusi satu kemas kini di Facebook.
Tambah Muhyiddin bagi penganut agama Hindu, hari Thaipusam merupakan peluang untuk mereka menunaikan nazar mengikut kepercayaan agama mereka.
Perdana Menteri turut megucapkan selamat meraikan Thaipusam kepada penganut agama Hindu di Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan pergerakan arca Dewa Murugan dibawa dari kuil ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam kali ini.
Katanya, ia akan dibawa dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves pada 27 Januari ini, dan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar, 29 Januari.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia perlu mematuhi syarat dan SOP ditetapkan, dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan pemantauan.
Sementara itu Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perarakan atau berkumpul di bahu jalan untuk menyaksikan acara membawa pedati.
Pihak polis juga ditugaskan sepanjang laluan pedati bagi memastikan tiada pihak yang berkumpul di sepanjang laluan pedati tersebut.
#Muhyiddin Yassin #Thaipusam #COVID-19 #Perdana Menteri #PM #SOP
;