PM, TPM wakilkan Jamil Khir, tingkatkan syiar Islam

Harits Asyraf Hasnan
Februari 19, 2017 08:48 MYT
JAMIL KHIR: Angkat martabat Mahkamah Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom kehadirannya di Himpunan 355 menerima persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, kedua-dua pemimpin negara itu meminta beliau untuk hadir pada perhimpunan itu demi menegakkan syiar Islam.
"(Datuk Seri Najib) izinkan saya wakilkan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah”.
“Waktu saya nak bertolak tadi juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sampaikan salam kepada tuan-tuan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat maghrib berjemaah yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Albakri semalam.
Tegas Jamil, cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tidak akan mengambil hak agama lain.
Beliau berkata ia dibuat hanya bertujuan mengukuhkan institusi Mahkamah Syariah.
Jamil Khir sekali gus mempersoal mengapa banyak halangan perlu dilalui dalam usaha melaksanakannya kali ini.
“Kalau dulu tak ada masalah dalam Parlimen, masyarakat dan kepada sesiapa pun. Tetapi, kenapa 2016, 2017 pindaan ini terpaksa kita adakan sampai himpunan seperti malam ini, kenapa terlalu sukar?
“Kita tidak ambil hak sesiapa pun (untuk buat pindaan RUU 355), umat Islam tak ambil hak orang lain, tapi kenapa tulisan, paparan wajah yang terlalu tak senang lihat Mahkamah Syariah berkembang.
“RUU 355 menjadi polemik panjang menerusi perbahasan di Dewan Rakyat kita bincang soal RUU 355, ada yang nyata persetujuan dan ada yang senyap,” katanya.
Pada majlis yang dihadiri ribuan penyokong cadangan pindaan itu, beliau menarik perhatian bahawa laluan pindaan kepada Akta sama pada 1984 mudah dan tidak mendapat bantahan anggota Parlimen termasuk bukan Islam.
Turut hadir di pihak Kerajaan adalah Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.
#Akta 355 #Akta Mahkamah Syariah #Bidang Kuasa Jenayah #Jamil Khir Baharom
;