PM tiba di Republik Kyrgyz untuk lawatan rasmi dua hari

Bernama
Mei 14, 2024 06:20 MYT
Anwar disambut oleh rakan sejawatnya, Akylbek Zhaparov di Lapangan Terbang Antarabangsa Manas. - Foto BERNAMA
BISHKEK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam tadi untuk lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Manas di sini pada 10.20 malam waktu tempatan (12.20 tengah malam waktu Malaysia).
Ketibaan Anwar disambut oleh Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov dan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Ilham Tuah Illias.
Republik Kyrgyz adalah negara pertama dikunjungi dalam kerangka lawatan Perdana Menteri ke Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan.
Menurut Kementerian Luar, lawatan itu adalah atas jemputan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Japarov.
Sepanjang lawatan itu, Anwar akan disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Nai'm Mokhtar.
Perdana Menteri akan memulakan lawatan rasmi beliau hari ini dengan meletakkan kalungan bunga di Kompleks Peringatan Ata-Beyit sebelum ke Kediaman Negara Ala Archa untuk upacara memeriksa kawalan kehormatan disusuli pertemuan empat mata dengan Presiden Japarov.
Kedua-dua pemimpin dijangka menandatangani kenyataan bersama dan mengadakan sidang media sebelum Perdana Menteri bertemu rakan sejawatnya iaitu Zhaparov.
Pada hari kedua lawatan, beliau akan mengadakan tinjauan mesra dan menghadiri acara kebudayaan di Taman Negara Ala Archa sebelum berlepas ke destinasi berikutnya iaitu Kazakhstan.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #lawatan rasmi #Kompleks Peringatan Ata-Beyit #Taman Negara Ala Archa
;