PM tiba di Perlis, lakukan lawatan kerja sehari

Abd Hadi Che Awang
Mac 5, 2021 10:55 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Perlis diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - Astro AWANI
KANGAR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melakukan lawatan kerja di negeri Perlis dalam meninjau lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 dan pembangunan negeri selain bertemu dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri itu.
Beliau tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar sekitar jam 9.20 pagi bagi mengadakan pertemuan tertutup bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man khususnya dalam mendengar taklimat berkaitan pembangunan negeri.
Ketibaan beliau turut diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Muhyiddin dijadual menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istana Arau sekitar jam 11.30 pagi.
Perdana Menteri seterusnya bersama Menteri Besar Perlis akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Arau.
Sekitar jam 2.30 petang, Muhyiddin dijangkakan akan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama badan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Perlis.
Mengakhiri siri lawatannya di Perlis, beliau akan ke PPV COVID-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial pada jam 4 petang, sebelum berlepas pulang ke ibu negara dengan menaiki pesawat khas.
#Muhyiddin Yassin #Perlis #lawatan kerja #PPV #COVID-19 #Perikatan Nasional #Azlan Man #Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail #Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid #Istana Arau
;