PM tiba di Kuala Terengganu dalam program sehari di dua buah negeri Pantai Timur

Bernama
Ogos 22, 2015 12:25 MYT
Najib dijangka merasmikan majlis Jamuan Rakyat di perkarangan stadium tertutup di sini yang bakal dihadiri 16,000 penduduk tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan sehari ke Pantai Timur bermula Terengganu dengan merasmikan program Jamuan Rakyat dan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus.
Ketibaan Najib dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, exco kerajaan negeri serta pemimpin setempat.
Sejurus tiba, Najib yang diiringi Ahmad Razif terus dibawa ke perkarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini dengan menaiki beca bagi merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kuala Nerus.
Perdana Menteri juga dijangka merasmikan majlis Jamuan Rakyat di perkarangan stadium tertutup di sini yang bakal dihadiri 16,000 penduduk tempatan.
Pada sebelah tengah hari, Perdana Menteri akan ke Kelantan untuk majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Lubuk Jong di Rantau Panjang.
#lawatan #Najib Razak #Pantai Timur #Perdana Menteri #PM #terengganu #UMNO
;