PM tiba di Korea Selatan, rakan dagang kelapan terbesar negara
Irfan Faruqi
November 24, 2024 20:55 MYT
November 24, 2024 20:55 MYT
SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tiba di Seoul, Korea Selatan, untuk lawatan rasmi atas jemputan Presiden Yoon Suk Yeol.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Seoul untuk lawatan rasmi, bertemu Presiden Korea Selatan dan konglomerat negara itu, serta menyantuni diaspora Malaysia.
- Lawatan ini mengukuhkan hubungan dagang, dengan nilai perdagangan Malaysia-Korea mencecah RM91.1 bilion pada 2024, menjadikan Korea rakan dagang ke-8 terbesar Malaysia.
- Malaysia mengimport bahan seperti semikonduktor, manakala Korea mengimport petroleum dan gas, dengan defisit dagangan RM5.5 bilion pada 2023.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Pangkalan Udara Seoul, Seongnam pada pukul 9.50 malam, 24 November (waktu Malaysia 8.50 malam, 24 November).
Setiba di sini, Perdana Menteri disambut Jurucakap kerajaan dan Timbalan Menteri Luar Negeri Korea, Lee Jae Woong dan Duta Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae.
Turut hadir termasuk Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Delegasi Malaysia juga disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.
Lawatan Perdana Menteri ke republik ini merupakan lawatan kerja pertama ketua pentadbiran Malaysia sejak tahun 2019. Beliau dijadual bertemu rakan sejawatnya pada Isnin.
Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan konglomerat Korea Selatan serta berdialog dengan para pemain industri dari negara ini.
Anwar akan turut menyantuni diaspora Malaysia di Korea Selatan dalam satu majlis ramah mesra pada malam Isnin. Selain itu, beliau akan menyampaikan syarahan di Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) pada Selasa.
Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Korea (selepas Vietnam dan Singapura) dan destinasi pelaburan keempat terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Korea mengimport produk petroleum dan gas asli dari Malaysia. Manakala Malaysia mengimport produk petroleum, semikonductor dan bahan kimia kepersisan mentah (precision chemical raw material).
Pada 2023, Korea mengimport produk bernilai AS$15.2 bilion dari Malaysia dan mengexport USD9.7 bilion, menjadikan deficit dagangan bernilai AS$5.5 bilion. Dan trend tersebut masih kekal sepanjang tahun 2024 apabila nilai import Korea dari Malaysia ialah AS$11.3 bilion dan nilai eksport ke Malaysia ialah AS$8.8 bilion.
Sehingga Oktober 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Republik Korea adalah sebanyak RM91.1 bilion (AS$19.8 bilion). Namun, jumlah eksport Malaysia ke Republik Korea RM 43.95 bilion (AS$9.6 bilion) pada tahun 2024. Jumlah import Malaysia dari Republik Korea telah kepada RM47.1 bilion (AS$10.3 bilion) pada tahun 2024.
Sekilas pandang, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar bagi Malaysia, manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar bagi Republik Korea. Jumlah pelaburan RM61 bilion dengan 616 projek.