BALING: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di daerah Baling hari ini bagi lawatan kerja beliau selama dua hari di negeri Kedah.

Beliau tiba sekitar pukul 12.20 tengah hari di Kampung Iboi yang merupakan kawasan yang paling teruk terjejas susulan kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di Kupang pada 4 Julai lalu.

Dalam lawatan pasca banjir itu, Perdana Menteri turut meninjau jambatan sementara jenis Bailey yang dibina bagi menggantikan jambatan yang runtuh dalam kejadian bencana berkenaan.

Beliau kemudian diberikan taklimat berkaitan bencana dan tindakan susulan yang dilakukan pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab oleh Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ismail Sabri kemudiannya melakukan lawatan di tapak pembinaan rumah baharu kepada mangsa banjir di Kampung Desa KEDA Sadek sebelum menghadiri majlis doa selamat sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan serta Bencana Banjir Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia, Kampung Teluk Durian.