PM tiba di Istana Abdulaziz untuk menghadap Agong

Astro Awani
Oktober 23, 2020 17:16 MYT
Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk melaksanakan darurat. - Bernama
KUANTAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, di sini sekitar pukul 4.40 petang Jumaat.
Terdahulu, sekitar pukul 4.30 petang, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dilaporkan memasuki pekarangan istana sama selepas menziarahi makam ayahanda baginda di Pekan.
Bagaimanapun, pengamal media hanya dibenarkan berada sekitar 100 meter dari pintu istana bagi membuat liputan.
Ketika ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk melaksanakan darurat.
BACA: Mungkinkah kerajaan akan isytihar darurat kesihatan?
Sebelum ini, Akhbar Singapura, Straits Times memetik beberapa sumber yang tidak dinamakan memberitahu, Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya hari ini adalah untuk membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan, ketika negara sedang 'berperang' dengan gelombang ketiga COVID-19.
Salah satu pilihan ketika ini adalah darurat ekonomi, yang boleh menggagalkan kemungkinan pilihan raya, sekali gus memberikan lebih banyak masa kepada kerajaan untuk mengendalikan pandemik COVID-19 tanpa terganggu oleh krisis politik.
BACA: Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu
#darurat #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Yang di-Pertuan Agong #darurat ekonomi #Istana Abdul Aziz #Kuantan #Pahang
;