PM Thailand adakan lawatan rasmi ke Malaysia esok
Faida Rahim
Disember 15, 2024 13:05 MYT
Disember 15, 2024 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, esok atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lalu.
Menurut Kementerian Luar, Paetongtarn akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini, diikuti dengan pertemuan dua hala bersama Anwar.
"Kedua-dua pemimpin juga akan mempengerusikan Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC) dan satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas AC tersebut.
"Semasa AC Ketujuh, kedua-dua Perdana Menteri dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara jiran tetangga, serta bertukar-tukar pandangan terhadap isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
"Seusai AC Ketujuh, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu MoU mengenai Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan; dan MoU mengenai Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi," kata kenyataan itu.
Pada 6 Ogos lalu, Menteri Luar Negeri Malaysia dan Thailand telah mempengerusikan Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, kenyataan itu juga menyebut lawatan ini sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri pada tahun ini selepas Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia dan Thailand ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Malaysia pada 3 Ogos lalu.
Selain itu, ia mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua-dua negara selaku jiran tetangga dan Negara Anggota ASEAN.
Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion).