PM terima kunjungan hormat Putera Mahkota Abu Dhabi
Bernama
Mei 22, 2023 19:30 MYT
Mei 22, 2023 19:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Keberangkatan tiba baginda di bangunan Dewan Persidangan Sementara Parlimen pada 5 petang disambut oleh Anwar yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pertemuan kedua-dua pemimpin adalah sempena lawatan khas dan yang pertama Sheikh Khaled ke Malaysia sejak baginda ditabal sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac lepas.
Mereka dijangka membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.
Lawatan khas Sheikh Khaled dijangka mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 Sept 2022.
Sheikh Khaled, yang berangkat tiba di Malaysia semalam, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.
UAE merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.
Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5 peratus kepada RM38.73 bilion berbanding RM22.33 bilion bagi tahun sebelumnya.
-- BERNAMA