PM Singapura mulakan lawatan rasmi ke Malaysia, kukuh hubungan dua hala

Bernama
Jun 11, 2024 19:16 MYT
Lawrence Wong (foto) akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun 2024. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selaku Perdana Menteri Singapura. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun 2024.
Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selaku Perdana Menteri Singapura, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).
Dalam rangka lawatan itu, Wong dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha-usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin akan mengadakan satu sesi sidang akhbar bersama, menurut kenyataan itu.
Selain itu, Wong juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Lawatan kerja ini menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk mengeratkan lagi hubungan yang telah lama terjalin serta sebagai persediaan untuk Sesi Permukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada akhir tahun ini," menurut Wisma Putra.
Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (US$ 79.60 bilion).
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Singapura #Lawrence Wong #lawatan kerja ke Malaysia #Hubungan dua hala #Wisma Putra
;