PM sifatkan pemimpin guna sentimen perkauman sebagai golongan dangkal

Bernama
November 28, 2024 23:09 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap meluncurkan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar sikap segelintir pemimpin yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menarik perhatian umum serta menyifatkan mereka sebagai golongan dangkal dan bankrap idea.

Ringkasan AI
  • PM Anwar Ibrahim mengecam pemimpin yang mainkan sentimen perkauman dan agama, menyifatkan mereka sebagai bankrap idea dan berniat jahat menyemai kebencian.
  • Beliau menggesa anak muda bersikap kritis, mencari kebenaran, dan fokus pada kasih sayang untuk mengatasi kebencian serta membina masyarakat lebih harmoni.
  • Anwar menekankan pentingnya dakwah penuh kasih sayang dan nilai murni dalam membetulkan masyarakat, demi masa depan negara yang maju dan bersatu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata golongan ini turut mencerminkan sikap mereka yang berfikiran sempit dan berniat untuk menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"(Golongan yang) menggunakan agama dan perkauman ini tidak terlepas daripada kalangan ahli politik, ahli perniagaan dan ahli akademik.
"Suara-Suara tempang dan merosakkan bukan kerana kurangnya ilmu dan idea tetapi kerana ketandusan prinsip akhlak serta dasar perjuangan yang luhur dan mulia.
"Pemahaman sempit ini paling mudah... kalau dalam kalangan orang Melayu, mereka akan mudah tercabar contohnya kalau ada satu dua poster dalam Bahasa Cina. Dalam kalangan Orang Cina... rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya di sini.
Justeru itu, Anwar berkata menjadi tugas anak muda untuk mendapatkan pencerahan secara kritis, kebenaran sesuatu kenyataan, mendengar daripada semua pihak dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Kadang-Kadang, pidato-pidato pimpinan politik negara kita tidak ada hujah bicara tentang dasar, tidak ada kupasan... cuma penuh dengan kebencian," katanya sambil menambah manusia kini semakin hilang nilai dan harga rasa kasih sayang.
Menerusi ucapan yang penuh bersemangat itu, Perdana Menteri berkata perkara itu perlu diperbaiki dengan kasih sayang kerana negara tidak seharusnya mempunyai orang yang lemah, rosak, rasuah atau melakukan kecurangan.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menyebarkan sentimen perkauman mencerminkan sikap berfikiran sempit dan berniat jahat untuk menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Dalam Islam, dakwah bermaksud membetulkan dan memperbaiki dengan kasih sayang... kita seru dengan semangat kasih sayang kerana kita mahu elak caci dan fitnah.
"Anak-anak yang dikasihi sekalian, kita mesti berbicara dengan baik kalau mahu negara ini maju. Dengan pencerahan, dengan 'lazatul ma'rifah' (kelazatan ilmu mengenali) kita mampu membawa kebaikan kepada negara," katanya.
-- BERNAMA
#sentimen perkauman #golongan dangkal #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #masyarakat berbilang kaum
;