PM setuju draf Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan - Jemilah
Irfan Faruqi
Januari 20, 2025 06:00 MYT
Januari 20, 2025 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi persetujuan kepada draf Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan sebagai langkah konkrit menangani isu-isu alam sekitar global.
Ringkasan AI
- Persetujuan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meluluskan draf pelan ini sebagai langkah konkrit untuk menangani isu-isu alam sekitar global. Posisi Malaysia sebagai Peneraju ASEAN: Pelan ini bertujuan untuk memposisikan Malaysia sebagai peneraju dalam isu kesihatan planet di peringkat ASEAN, dengan pendekatan yang boleh dikembangkan secara serantau. Perdagangan Karbon ASEAN: ASEAN telah menunjukkan perkembangan positif dalam kolaborasi perdagangan karbon, yang merupakan mekanisme kerjasama serantau untuk menangani perubahan iklim.
Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health Sunway University, Prof. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood berkata, ini merupakan tindakan awal untuk memposisikan Malaysia sebagai peneraju dalam isu berkenaan diperingkat ASEAN.
“Mungkin tidak diketahui oleh ramai orang ialah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberi persetujuan terhadap draf Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan.
“Satu pelan yang menjelaskan sistem-sistem yang perlu berubah untuk mengelakkan planet/bumi kita tidak terjejas dan kesihatan/kebaikan manusia juga terjaga. Ini satu cara yang boleh kita terajui dan boleh di bawa ke peringkat ASEAN,” katanya
PM setuju draf Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan – Jemilah Mahmood
Menurut Jemilah, pelan tindakan ini merupakan salah satu langkah untuk menterjemahkan konteks tempatan dalam pelaksanaan standard global mengenai langkah menangani isu perubahan iklim.
Tambah beliau, pendekatan yang sama boleh dikembangkan di peringkat serantau dan ASEAN telah menunjukkan perkembangan positif ke arah kolaborasi berkenaan.
“Perdagangan karbon yang dipersetujui oleh negara-negara ASEAN merupakan suatu perkara yang sangat positif. Ini bermakna kita ada mekanisme kerjasama serantau.
“Bagaimana kita sebagai satu blok rantau boleh sepakat mengenai langkah ke hadapan? Kita boleh gunakan amalan global sebagai panduan, tetapi kita perlu mengikut konteks setempat. Di sini, Malaysia boleh menjadi contoh yang baik dan memimpin rantau kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin ketika ditemui di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
WEF menghimpunkan pemimpin global untuk menangani cabaran utama global dan serantau. Ini termasuk memberi respons kepada kejutan geopolitik, merangsang pertumbuhan untuk meningkatkan taraf hidup, dan menguruskan peralihan tenaga secara adil serta inklusif.
Agenda AWANI #WEF25: Krisis dunia | Bukan tiada solusi, manusia yang gagal mengurus?