PM seru belia membaca, lawan kebebalan dan cambah daya fikir kritis
Afiezy Azaman
Disember 11, 2022 12:00 MYT
Disember 11, 2022 12:00 MYT
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda mengamalkan budaya membaca terutamanya melibatkan karya-karya agung dan besar.
Sambil berkongsikan sebuah lukisan yang dihasilkan kartunis legenda, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat, Anwar turut berpendapat masih belum terlambat untuk memupuk budaya membaca.
"Terima kasih Datuk Lat. Belum terlambat untuk memupuk budaya membaca.
"Karya-karya besar mesti ditelaah oleh golongan muda hari ini bagi melawan kebebalan dan mencambah daya fikir yang kritis," katanya melalui akaun media sosial miliknya, pada Ahad.
Lukisan kartun dihasilkan Datuk Lat itu berlatarbelakangkan pejabat Perdana Menteri yang memaparkan sekumpulan individu terdiri daripada pelbagai bangsa yang sedang membaca karya daripada beberapa ahli falsafah dan penyair terkemuka seperti Lao-Tze, Abu'l Fath Al-Busti dan Socrates.