PM serah surat tawaran lanjut pengajian kepada anak sulung anggota bomba lemas

Shuhada Abdul Kadir
November 14, 2021 13:12 MYT
Ismail Sabri menyampaikan surat tawaran melanjutkan pelajaran kepada Mohamad Daniel Hakimie di Klebang hari ini. - Foto Astro AWANI
TANGGA BATU: Hasrat anak sulung anggota bomba yang maut akibat lemas ketika kerja-kerja menyelamat di Sungai Putat, Ayer Keroh bulan lalu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hari ini, Perdana Menteri menyerahkan surat tawaran kemasukan ke Kolej Komuniti Bukit Beruang untuk Mohamad Daniel Hakimie kepada isteri Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, Noraida Che Nor.
Noraida, 39 tahun, ketika ditemui berterima kasih dan terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib keluarganya selepas kematian suami, 20 Okt lalu.
Ujarnya, hasrat melihat anaknya melanjutkan pengajian dalam jurusan automotif itu juga adalah impian arwah suaminya yang memahami minat mendalam anak sulung mereka dalam bidang berkenaan.
“Sebagai ibu saya rasa bersyukur sangat kepada Allah kerana Perdana Menteri sendiri yang turun padang sampaikan surat tawaran itu kepada anak saya.
“Saya terharu dengan keprihatin beliau memandangkan memang menjadi impian anak sulung saya melanjutkan pengajian dalam bidang automotif.
"Allahyarham suami juga sejak dahulu beri sokongan untuk anak sulung kami sambung belajar ambil kemahiran,” katanya yang ditemui selepas majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Gerakan Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Sungai Udang, di Klebang.
Turut hadir, Mohamad Daniel Hakimie sendiri serta adik-adiknya, Nurul Ain, 16 tahun, Muhammad Danish Hakim, 12 tahun, dan Nurul Anisah Ilya, 9 tahun.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad.
BACA: Laporan penuh siasatan anggota bomba lemas diketahui dua minggu lagi
BACA: Bomba lemas: Anak-anak Allahyarham akan terima bantuan pendidikan
Sementara itu, Mohamad Daniel Hakimie ketika ditemui mengakui tidak menyangka menerima surat tawaran itu daripada tangan pemimpin tertinggi negara.
“Sejujurnya hati saya rasa seronok sangat kerana akhirnya cita-cita saya sejak kecil ini tercapai. Ini juga impian Allahyarham ayah saya.
“Tentulah harapan saya untuk banggakan ibu, lebih-lebih lagi selepas ayah saya tiada. Semua tanggungjawab akan saya galas dan tidak akan mensia-siakan peluang ini,”katanya.
BACA: PM ucap takziah kepada keluarga anggota bomba meninggal dalam operasi banjir di Melaka
BACA: JBPM pertimbang kenaikan pangkat anggota lemas ketika bertugas
Mohamad Daniel Hakimie, 18 tahun, akan melaporkan diri ke Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka bagi sesi kedua 2021/2022 bermula Februari tahun depan.
Remaja itu akan mengikuti kursus Servis Kenderaan Ringan peringkat sijil selama dua tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang 20 Okt lalu, Mohd Diya lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi keesokan harinya ketika mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.
#bomba #ismail sabri yaakob #surat tawaran lanjut pengajian #anggota bomba lemas
;