PM sentiasa utamakan agenda Pemerkasaan Masyarakat India - Ramanan

Bernama
Mei 5, 2024 20:15 MYT
Ramanan mengakui bahawa perdana menteri cukup komited untuk menjayakan misi berkenaan dan kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengutamakan agenda "Pemerkasaan Masyarakat India" seiring dengan proses pembangunan negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan.
Beliau mengakui bahawa perdana menteri cukup komited untuk menjayakan misi berkenaan dan kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.
Namun menurutnya ada pihak-pihak tertentu masih memainkan sentimen "politik kebencian" mendakwa perdana menteri bersikap sebaliknya.
Beliau menganggap kumpulan ini sebagai "desperado" yang melakukan fitnah dengan membangkitkan dakwaan sedemikian, yakni satu penipuan dengan niat dengki dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan komuniti India.
"Kita perlu berwaspada. Yang pasti kita perlu memastikan agenda pemerkasaan kaum India terjamin. Itulah juga "pegangan dan prinsip" saya selaku Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya kepada media selepas merasmikan Program 'Sure Heboh' di sini hari ini.
Ramanan berkata Jumaat lepas beliau mengumumkan RM100,000 geran diluluskan untuk manfaat Koperasi Pengusaha Restoran India Berhad (KOPRIMAS) di bawah Program Pengukuhan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menurutnya baru-baru ini beliau juga mengumumkan dana tambahan RM30 juta melalui Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) RM50 juta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 usahawan wanita India.
Beliau berkata semua inisiatif untuk usahawan masyarakat India ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa mandat daripada perdana menteri.
Ramanan berkata tidak wajar sesetengah pihak mendakwa Anwar tidak membuat apa-apa terutamanya terhadap komuniti itu, dan menurutnya dakwaan itu dilakukan oleh segelintir ahli politik yang tidak berjawatan.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Pemerkasaan Masyarakat India #r ramanan #pembangunan negara
;