PM sembah taklimat lawatan ke Singapura kepada Sultan Ibrahim

Nickyson Nyambar
Februari 4, 2023 19:46 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembah taklimat kepada Sultan Johor berkenaan lawatan kerja beliau ke Singapura pada 30 Januari, tempoh hari di Seri Perdana. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembah taklimat kepada Sultan Johor berkenaan lawatan kerja beliau ke Singapura pada 30 Januari, tempoh hari.
Sesi sembah taklimat kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu berlangsung di Seri Perdana, kediaman rasmi beliau di Putrajaya hari ini.
Dalam lawatan rasmi ke Kota Singa sebelum ini, Perdana Menteri berkesempatan menyaksikan tiga perjanjian dimeterai antara Malaysia dan Singapura merangkumi aspek keselamatan siber, digital, dan ekonomi hijau.
Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau itu ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatannya, Gan Kim Yong mewakili Singapura.
Manakala, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pula mewakili Malaysia bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kerjasama dari aspek Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital.
Antara tumpuan lain, lawatan berkenaan turut memfokuskan kepada persetujuan antara kedua negara untuk mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Pulau Batu Puteh dalam masa terdekat ini.
Perkara tersebut telah dibangkitkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
#Perdana Menteri #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Sultan Johor #Sembah Taklimat
;