PM sedia tingkat bantuan STR jika rakyat terkesan
Astro Awani
November 25, 2023 23:50 MYT
November 25, 2023 23:50 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri memberi jaminan akan meningkatkan jumlah bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar memberi kesan kepada rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan kerajaan menyediakan jaringan keselamatan yang lebih efektif untuk golongan rentan dan miskin.
"Contohnya subsidi eleketrik, tidak ada kadar tambahan kepada rakyat, tapi tidak untuk 10 peratus yang berpendapatan tinggi. Dengan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kita dapat menyelamatkan hampir RM4 bilion dari penyasaran subsidi ini.
"Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan mengesankan kepada rakyat, kita akan tambah STR supaya mereka dapat tampung kerugian itu," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan 2023 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan adalah sesuatu yang tidak mungkin bagi kerajaan di bawah pimpinanya untuk menyelesaikan semua isu yang diwarisi daripada pentadbiran sebelum ini dalam tempoh setahun.
Oleh itu katanya, kerajaan terpaksa memberi tumpuan kepada isu-isu berdasarkan keutamaan.
"Tidak mungkin semua dilakukan dalam masa satu tahun. Maka kita tumpu selesaikan masalah rakyat yang lebih mendesak berdasarkan keutamaan.
"Setelah setahun saya minta menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri lebih banyak turun ke bawah menjelaskan isu-isu ini kepada rakyat," ujarnya.