PM sampaikan sumbangan kepada pelawak Sathiya

Bernama
Julai 28, 2024 14:45 MYT
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi pelawak berkenaan di kediamannya baru-baru ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada pelawak veteran tersohor Sathia Periasamy, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Sathiya, yang diserang penyakit angin ahmar.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi pelawak berkenaan di kediamannya baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa Sathiya masih mampu tersenyum dan pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu sempat berbicara mengenai perjalanan seninya.
"Namun beliau masih memerlukan rawatan berkala dan tahap kesihatannya perlu sentiasa dipantau," kata beliau.
Anwar turut mendoakan agar Sathiya kembali pulih secepat mungkin dan urusannya dipermudah sekali gus dapat terus berkarya serta berbakti kepada dunia seni tanah air.
Menurut laporan media, Sathiya, 60, mengalami serangan angin ahmar selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika sedang bersarapan di rumahnya baru-baru ini.
-- BERNAMA
#PM sampaikan sumbangan #Sathiya #pelawak #Ahmad Farhan Fauzi