PM sambut hari jadi ke-64 bersama warga Felda

Bernama
Julai 23, 2017 15:10 MYT
Najib dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, masing-masing memakai baju Melayu serta baju kurung biru sedondon.
Sambutan ulang tahun ke-64 kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini lebih istimewa apabila ia diraikan bersama-sama golongan peneroka Felda yang diketahui sentiasa dekat dihatinya.
Hari jadi perdana menteri itu diraikan pada Sambutan Ekspresi Felda Negaraku Malaysia bersempena Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini hari ini, yang dihadiri lebih 25,000 peneroka Felda.
Najib dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, masing-masing memakai baju Melayu serta baju kurung biru sedondon, memotong pulut kuning simbolik kepada sambutan hari lahir beliau.
Perdana Menteri kelihatan girang dan sentiasa tersenyum apabila sekumpulan kanak-kanak bersama warga Felda dari 11 wilayah menyanyikan lagu 'Allah Selamatkan Kamu' yang senikatanya ditukar kepada 'Allah Selamatkan PM' dan lagu 'Happy Birthday to You'.
Ramai warga Felda mengambil kesempatan bersalaman dan mengucapkan selamat hari jadi kepada Najib serta berswafoto bersamanya.
Hari Peneroka 2017 Peringkat Kebangsaan hari ini disambut meriah dan hadirin tidak berganjak walaupun hujan lebat.
-- BERNAMA
#Felda #hari jadi #Najib Razak #Rosmah Mansor
;