PM rasmi Jambatan Kedua Pulau Pinang
Bernama
Mac 1, 2014 21:44 MYT
Mac 1, 2014 21:44 MYT
Ikon terbaharu negara, Jambatan Kedua Pulau Pinang atau JK2PP, dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini dengan disaksikan lebih 10,000 orang.
Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 8.30 malam untuk merasmikan jambatan sepanjang 24km itu, yang merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara.
Turut mengiringi Najib ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Acara bersejarah penuh warna-warni itu turut disaksikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeane Abdullah, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan barisan exco kerajaan negeri.
Ketibaan Najib dan Rosmah disambut dengan nyanyian 1M4U dan orang ramai dilihat berpusu-pusu mahu bersalam dan mengambil gambar mereka.
Sejurus Perdana Menteri merasmikan jambatan kedua itu, langit pulau mutiara diserikan dengan pertunjukan bunga api sebagai simbol perasmian jambatan baharu itu.
Perdana menteri dan isteri turut menaiki bas dua tingkat tanpa bumbung dari persimpangan Batu Maung hingga ke gerbang jambatan itu.
Setelah dinanti-nantikan selama lima tahun, jambatan baharu itu akan dibuka pada 12.01 tengah malam ini untuk membolehkan orang ramai melihat sendiri keunikan struktur jambatan dan plaza tol itu, yang dikatakan terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran.
Jambatan sepanjang 24 kilometer dengan 17 kilometer daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan, bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama di zon perindustrian tanah besar di Batu Kawan.
Selain mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang, jambatan itu yang diilhamkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan direalisasikan Abdullah, akan merapatkan lagi pembangunan sosial dan ekonomi antara Batu Maung di kawasan pulau dan Batu Kawan di tanah besar.
Projek mega itu yang menelan kos RM4.5 bilion dikendalikan oleh kontraktor China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) sebagai pemegang konsesi untuk 45 tahun.
Selain dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar, JK2PP mempunyai kelebihan kerana menggunakan sistem galas getah redaman tinggi (HDRB) yang mampu menahan kesan gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada skala richter pada jarak 300km daripada punca gempa bumi.
HDRB adalah produk daripada getah asli yang direka bentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United Kingdom, iaitu makmal milik Lembaga Getah Negara dan dihasilkan sepenuhnya di dalam negara.
Pada 30 April tahun lepas, Najib menjadi pemimpin pertama negara yang menggunakan laluan JK2PP dari bahagian pulau ke tanah besar untuk menghadiri satu majlis di Kepala Batas, Seberang Perai.