PM puas hati rundingan damai selatan Thai

Harits Asyraf Hasnan
Disember 16, 2018 15:08 MYT
Dr Mahathir berkata, beliau telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Abdul Rahim yang berperanan sebagai fasilitator proses damai selatan Thailand itu. - Gambar fail/BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan proses rundingan damai di wilayah selatan Thailand yang dikendalikan oleh Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.
Jelas beliau, proses rundingan damai itu sedang berjalan dengan baik selain masih memerlukan masa bagi mencari penyelesaian konflik tersebut.
“Kita perlu mengambil sedikit masa kerana mereka yang berselisih faham di selatan Thailand ini terbahagi kepada banyak puak dan kita perlu berhubung dengan semua puak ini supaya mereka dapat memberi pendapat selain menjaga kepentingan mereka.
“Akhirnya, mereka mungkin akan bersetuju supaya keganasan boleh ditamatkan dan mereka akan dapat layanan yang baik oleh negara Thailand ini,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, beliau telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Abdul Rahim yang berperanan sebagai fasilitator proses damai selatan Thailand itu.
Abdul Rahim yang juga bekas ketua polis negara, dilantik sebagai fasilitator rundingan damai di selatan Thailand pada 25 Ogos lalu menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.
#Abdul Rahim Mohd Noor #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #rundingan damai #selatan thailand #Thailand
;