PM prihatin isu 'rider', pertemuan dengan Menteri Pengangkutan diatur Isnin ini

Ridauddin Daud
Ogos 5, 2022 18:23 MYT
Beberapa wakil kedua-dua persatuan mengadakan perbincangan hampir satu jam dengan wakil Pejabat Perdana Menteri dan Pemuda UMNO Malaysia di ibu negara. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Wakil pemandu e-hailing dan p-hailing dijadual bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Isnin ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata, Pejabat Perdana Menteri selepas ini juga akan mengatur pertemuan mereka dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Menurutnya, beberapa libat urus hampir sama juga akan dirancang memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob prihatin dan memandang serius isu berkenaan dan mahu ia diselesaikan sebaik mungkin.
"Kesungguhan pihak kerajaan dilihat amat tinggi terhadap pembelaan mereka. Sebab itu kerajaan luluskan usul Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), insurans yang diumumkan dalam bajet sebelum ini telah dilaksanakan.
"Cuma masih ada dua tuntutan belum dilaksanakan iaitu badan kawal selia dan pengiktirafan mereka sebagai pekerja. Saya akan bersama membantu mereka dan Perdana Menteri juga serius untuk membela mereka.
"Sesi begini kita akan teruskan dan pentingnya, hari Isnin nanti, kita sudah aturkan (pertemuan) bersama Menteri Pengangkutan. Selepas ini, kita akan bawa kumpulan ini untuk bertemu Kementerian Sumber Manusia supaya perkara ini lebih cepat diselesaikan," katanya.
VIDEO: Cerita Sebalik Berita: Di sebalik mogok penghantar makanan
Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan isu p-hailing dan e-hailing di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Timbalan Presiden Grab Driver Malaysia Association (GDMA) Mohd Azril Ahmat dan Timbalan Presiden Persatuan Penghantar E-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani.
Terdahulu, beberapa wakil kedua-dua persatuan itu mengadakan perbincangan hampir satu jam dengan wakil Pejabat Perdana Menteri dan Pemuda UMNO Malaysia yang diwakili Exconya, Fairuz Jamaludin.
Antara isu dibangkitkan dalam pertemuan itu adalah caj syarikat pengendali yang dianggap tidak berbaloi, tambang yang semakin rendah, lambakan penghantar p-hailing serta beberapa isu lain.
Terdahulu media melaporkan rakan kongsi penghantaran Grab tidak berpuas hati dengan kadar rata semasa yang dibayar bagi setiap penghantaran, sehingga mencetuskan perancangan gerakan boikot selama sehari pada Jumaat (5 Ogos).
Ratusan penghantar makanan GrabFood hadir serah memorandum
Mereka mendakwa tidak diberi upah yang setimpal, terutamanya yang mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan.
Begitupun, Grab Malaysia mendakwa mereka tidak mengurangkan upah untuk perkhidmatan penghantaran sebaliknya isu yang tercetus merupakan kes terpencil membabitkan rakan penghantaran mereka.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Grab Malaysia memaklumkan isu itu yang menimbulkan salah faham dalam kalangan rakan penghantar, telah pun diselesaikan dan diperjelaskan kepada mereka yang terlibat.
-ENDS-
#pekerja penghantaran #e-hailing #Perdana Menteri #Ismail Sabri #Saravanan
;