PM perlu dedah nama pihak yang beri tekanan campuri urusan mahkamah - TI-M

Astro Awani
Ogos 6, 2021 17:15 MYT
Kata Muhammad, perkara ini tidak seharusnya berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia kerana institusi kehakiman itu satu institusi yang dihormati dan dipercayai oleh rakyat dan pelabur asing.
KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin segera membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang mahu beliau mencampuri urusan kes mahkamah.
Presiden TIM, Muhammad Mohan menjelaskan perdana menteri juga boleh menamakan pihak yang memberi tekanan kepada beliau untuk mencampuri beberapa kes mahkamah.
"Ini satu perkara yang serius, jadi kami mencadangkan perdana menteri menamakan sesiapa individu yang memberi tekanan sebegini atau membuat laporan polis agar perkara ini boleh disiasat.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia kerana institusi kehakiman itu satu institusi yang dihormati dan dipercayai oleh rakyat dan pelabur asing," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau menegaskan perkara yang didedahkan oleh Muhyiddin itu mengejutkan banyak pihak.
BACA: Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM Muhyiddin
BACA: Sultan Selangor titah segerakan perbicaraan kes-kes rasuah
Mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru supaya perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh, Muhammad menjelaskan pihaknya sangat gembira dengan titah tersebut.
"Titah Sultan Selangor itu sangat baik kerana apa yang kita tahu dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak kes rasuah yang melibatkan penjawat awam di Selangor.
"Jadi kalau dipercepatkan ini sangat bagus kerana dari perspektif Tranparency International, tiap-tiap tahun keluarkan kajian iaitu Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang mana pada 2020 pencapaian Malaysia mula merosot," katanya lagi.
Jelas beliau, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ini mengukur rasuah dalam sektor awam dan bila banyak kes rasuah melibatkan sektor awam ia akan membuatkan pencapaian merosot.
Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.
#Tranparency International Malaysia #Dr Muhammad Mohan #mahkamah #Rasuah #dedah #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #CPI #TMI #TM-I #Sultan Selangor
;