PM perlu ambil tahu kes mahkamah tetapi bukan campur tangan

Astro Awani
Ogos 22, 2022 23:49 MYT
Faridah menjelaskan, kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak berlangsung dalam suasana agak tenang berbanding kes-kes berprofil tinggi lain sebelum ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil tahu kes-kes berprofil tinggi yang berlangsung di mahkamah ketika ini.
Namun Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Prof Datin Faridah Jalil menjelaskan, Perdana Menteri tidak perlu mencampuri urusan mahkamah.
"Perdana Menteri sekarang memang perlu mengambil tahu berkenaan kes ini, tetapi ambil tahunya itu bukanlah sampai dia mencampuri urusan mahkamah.
"Ambil tahu kerana kita tahu bahawa perbicaraan ini melibatkan dana yang besar, jadi apa-apa juga tindakan yang akan diambil oleh Perdana Menteri kita sekarang, dia perlu juga memberi perhatian kepada kehilangan kewangan yang ditanggung.
"Ada isu-isu yang berbangkit melbatkan pengurusan pentadbiran negara, dia perlu ambil tahu tetapi bukanlah dengan dia mengeluarkan atau melakukan sesuatu sehingga mempengaruhi mahkamah dalam menjalankan tugasnya.
"Itu dua benda berbezaa, ambil tahu dan mencampuri, dua perkara yang berbeza," katanya dalam rancangan Agenda AWANI yang membincangkan isu Kebebasan Institusi Kehakiman.
Faridah menjelaskan, kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak berlangsung dalam suasana agak tenang berbanding kes-kes berprofil tinggi lain sebelum ini.
"Kalau kita bandingkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu, kesnya berlangsung dalam keadaan yang agak tegang kerana ada yang mengatakan ia adalah perbicaraan bersifat politik.
"Kalau kita lihat perbicaraan, ada berbalas hujahan yang agak keterlaluan antara peguam dan hakim hingga ada yang dikenakan tindakan oleh mahkamah.
"Kes ini lancar hingga ke Mahkamah Persekutuan sehingga dibangkitkan isu berat sebelah oleh hakim sebelum ini yang ditimbulkan oleh pasukan Datuk Seri Najib," katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan dalam perbicaraan kes Najib juga tidak ada pengaruh pihak eksekutif sejak awal perbicaraan hingga ke peringkat rayuan, walaupun penyokong Najib mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes tersebut.
#Faridah Jalil #Perdana Menteri #Kes SRC #Kes Najib Razak
;