PM pengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara bersama pakar pelbagai bidang

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 6, 2021 21:28 MYT
Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat kedua MPN berkata, pelbagai perbincangan dan pertimbangan dari segenap aspek diambil kira dalam Pelan Pemulihan Negara.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perbincangan serta cadangan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat membantu kerajaan memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat kedua MPN itu memaklumkan, pelbagai perbincangan dan pertimbangan dari segenap aspek diambil kira dalam PPN.
“Mesyuarat MPN membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan pakar-pakar kesihatan dan ekonomi berhubung kadar vaksinasi; status vaksinasi individu; kapasiti ICU dan keperluan untuk sektor perniagaan, terutamanya PKS, dibuka semula dengan SOP yang ketat,” katanya dalam muat naik di Facebook rasminya hari ini.
Mesyuarat kedua MPN itu turut dihadiri oleh ahli-ahli MPN yang terdiri daripada pakar-pakar sektor kesihatan, ekonomi dan sosial iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Michael Kang dan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut disertai Datuk Seri Wong Chun Wai; Tan Sri Anthony Francis Fernandes; Datuk Dr Hartini Zainudin; dan Prof Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
#Perdana Menteri #Mesyuarat MPN #Majlis Pemulihan Negara #Pelan Pemulihan Negara #Muhyiddin Yassin #Pakar Kesihatan #ekonomi #kesihatan
;