PM pengerusi Mesyuarat PB ke-23 di Pangkor

Wan Syamsul Amly
September 15, 2020 11:20 MYT
Muhyiddin diiringi Ahmad Faizal ketika tiba di Jeti Pangkor sempena lawatan kerja beliau hari ini. Turut kelihatan, Mustapa. --fotoBERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 (PB23).
Ia platform membentangkan Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menekankan pendekatan yang dinamik untuk lebih fokus kepada membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut membuat panggilan video dengan dua usahawan berjaya dari Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), masing-masing dari Kedah dan Perlis.
Muhyiddin yang tiba di Pulau Pangkor pagi ini memulakan lawatannya dengan meninjau jeti penumpang Pulau Pangkor yang memerlukan penambahbaikan, selaras dengan statusnya sebagai Pulai Bebas Cukai sejak Januari lepas.
Ketibaannya di Jeti Pangkor disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Muhyiddin juga melawat tiga usahawan NCER di Pulau Pangkor iaitu Ismail Arshad yang mengusahakan minyak dan air gamat serta pengusaha kraftangan ikan buntal Mohd Arshad Yusop atau dikenali sebagai Alang & Angry Fish di Kampung Telok Gedong.
Turut menerima kunjungan pemimpin nombor satu itu adalah pengusaha hasil perikanan Rasid Ibrahim yang memiliki perniagaan Sate Ikan Paksu Enterprise.
Dalam pada itu, kenyataan NCER memaklumkan Program empowerNCER telah dirangka bagi menangani keperluan sosioekonomi berdasarkan keperluan industri sedia ada dengan meningkatkan kemahiran rakyat setempat supaya mampu bersaing dan merebut peluang-peluang ekonomi.
Program ini terbahagi kepada dua komponen iaitu komponen Akademik serta komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.
Komponen Akademik dirangka untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui peningkatan kemahiran pembangunan akademik dan sahsiah.
Komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan pula dirangka untuk memberi kemahiran asas dan latihan keusahawanan bagi komuniti setempat meningkatkan pendapatan atau menambah perolehan mereka.
Dalam pada itu, Program entrepreneurNCER@Perak menekankan peranan penting Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai tulang belakang ekonomi tempatan.
Program entrepreneurNCER@Perak dirangka sebagai suatu program yang holistik dan menyeluruh bagi membantu usahawan mikro dan PKS di kawasan-kawasan luar bandar di NCER.
Di samping memberi khidmat bimbingan kepada usahawan yang berhasrat mengembangkan perniagaan, kerjasama strategik dipupuk dengan bank terpilih bagi menyediakan bantuan pembiayaan mudah (soft loan) melalui kaedah top-up 50 peratus kepada kadar faedah bank.
Daalam pada itu, Program NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) NTEP adalah program modal insan khas bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan kualiti hidup graduan tempatan, serta memastikan tenaga kerja mahir yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri di NCER.
Melalui program ini, peserta-peserta akan menerima latihan kemahiran kerja hakiki, diikuti latihan kemahiran insaniah bagi menambah tahap kompetitif mereka, secara langsung memberi peluang pekerjaan kepada graduan tempatan.
Sementara, Dana Mudahcara Bumiputera (DMB) adalah Dana Mudahcara (Facilitation Fund) yang diwujudkan sebagai tipping point kepada inisiatif pelaburan swasta Bumiputera di NCER untuk memberi sokongan kepada syarikat-syarikat bumiputera di dalam bentuk bantuan kewangan agar lebih berdaya saing dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek-projek.
Usaha ini juga untuk melengkapkan jurang daya maju pelaburan sektor swasta di dalam melaksanakan projek-projek oleh bumiputera, lantas memberi kesan ketara kepada pembangunan ekonomi dan komuniti di NCER.
#Bumiputera #COVID-19 #cukai #koronavirus #Muhyiddin Yassin #NCER #pandemik #pelaburan #Perdana Menteri #perikanan #Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara #PKS #Program empowerNCER #Pulau Pangkor #usahawan #video
;