PM Najib yakin Jamilah akan terus bawa kemajuan, pembangunan di Tanjong Datu
Bernama
Februari 18, 2017 22:12 MYT
Februari 18, 2017 22:12 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kemenangan Datuk Amar Jamilah Anu daripada Barisan Nasional (BN) akan membawa kemajuan dan pembangunan berterusan di Tanjong Datu, Sarawak.
Mengulas kemenangan besar Jamilah pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, perdana menteri berkata Jamilah merupakan pilihan terbaik dalam meneruskan legasi pembangunan di kawasan itu yang dibawa oleh suaminya Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Adenan merupakan bekas wakil rakyat kawasan itu serta Ketua Menteri Sarawak kelima.
"Tahniah kepada calon BN Puan Sri Jamilah Anu yang telah dipilih oleh para pengundi Tanjong Datu sebagai wakil mereka. Hidup Barisan!," katanya menerusi laman Facebook dan Twitter, malam ini.
Jamilah menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit pada PRK Tanjong Datu hari ini.
Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi manakala Rapelson 130 undi dan Johnny Aput 108 undi.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada pengundi Tanjong Datu atas pemilihan Jamilah.
"Perjuangan Tok Nan akan diteruskan. Terima kasih jentera BN dan semua pihak membantu kelancaran PRK," katanya di laman Twitter.
PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
-- BERNAMA