PM Najib ulangi komitmen kerajaan arus perdanakan kaum India

Bernama
Oktober 27, 2016 00:01 MYT
Perdana Menteri berkata semangat Deepavali adalah berasaskan kepada kejayaan cahaya mengatasi kegelapan.
Bersempena perayaan Deepavali hujung minggu ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi komitmen kerajaan untuk mengarusperdanakan masyarakat India di negara ini.
Dalam perutusan Deepavali beliau hari ini, perdana menteri berkata kerajaan mengambil langkah memperkasa program pembelaan dalam agenda pembangunan negara melalui Pelan Tindakan Sosioekonomi Masyarakat India, yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.
"Semoga perayaan pesta cahaya ini akan membawa cahaya kebahagiaan dan keharmonian kepada semua rakyat Malaysia. Bersempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini, marilah kita eratkan lagi hubungan baik dan persefahaman yang telah terjalin antara kita.
"Saya masih ingat sambutan Deepavali semasa saya kecil di mana bersama-sama ibu dan ayah, kami membuat kunjungan ke rumah sahabat yang beragama Hindu dan menikmati hidangan yang cukup lazat seperti thosai, chapati, murukku dan lain-lain lagi," katanya menerusi catatan dalam blog NajibRazak.com.
Penganut Hindu di seluruh dunia akan menyambut Deepavali pada Sabtu ini dan ia disambut pada Saturthasi Tithi, iaitu hari ke-14 dalam bulan Iypasi berdasarkan kalendar panjangam Hindu.
Najib berkata semangat Deepavali adalah berasaskan kepada kejayaan cahaya mengatasi kegelapan.
"Semangat itu mencerminkan perjalanan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dalam mengharungi pelbagai cabaran serta rintangan supaya rakyat negara ini dapat menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera," kata beliau.
Perdana menteri turut meminta rakyat supaya mendoakan agar keluarga mangsa tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru tabah menempuhi dugaan yang menimpa kehidupan mereka.
Dalam kejadian pada Selasa, enam pesakit iaitu empat wanita dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan HSA.
"Selamat menyambut Hari Deepavali, 'Deepavali Vaalthukkal'," kata Najib pada akhir perutusan Deepavali itu. - Bernama
#arus perdana #Deepavali #kaum india #Najib Tun Razak #Perdana Menteri
;