PM Najib ucap takziah kepada keluarga mangsa pesawat TUDM terhempas

Bernama
Disember 21, 2016 23:13 MYT
Dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter, perdana menteri berkata, siasatan terperinci ke atas insiden itu akan dilakukan. - Gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam insiden pesawat TUDM terhempas di Butterworth hari ini.
Dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter, beliau berkata, siasatan terperinci ke atas insiden itu akan dilakukan.
"Terima laporan tragedi nahas pesawat @airforcenextgen (Twitter rasmi TUDM), sedih ketahui ada kemalangan jiwa. Takziah kpd keluarga, siasatan terperinci akan dilakukan," kata perdana menteri.
Dalam insiden pada 5.18 petang itu, sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, menyebabkan juruterbangnya maut, manakala tiga yang lain cedera.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberitahu Bernama, siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk menyiasat punca nahas terbabit.
Beliau berkata TUDM telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu. -- Bernama
#Beechcraft King Air 200T #Najib Razak #Pengkalan Udara Butterworth #Perdana Menteri #Pesawat TUDM terhempas #TUDM
;