PM Najib ucap tahniah, terima kasih kepada sukarelawan 'Food Flotilla For Myanmar'
Bernama
Februari 23, 2017 23:34 MYT
Februari 23, 2017 23:34 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan dari Malaysia serta negara lain yang mengorbankan masa, tenaga dan keringat dalam membantu misi kemanusiaan 'Food Flotilla For Myanmar'.
Perdana Menteri turut bersyukur dengan ketibaan kapal Nautical Aliya yang membawa misi kemanusiaan 'Food Flotilla For Myanmar' di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang pagi tadi.
"Alhamdulillah, kapal Nautical Aliya yang membawa misi Food Flotilla for Myanmar bersama ribuan tan bantuan kepada mangsa pelarian Rohingya di sana dan juga di Bangladesh, telah selamat pulang ke Malaysia selepas melengkapkan misi mereka.
"Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada semua yang telah menyumbang kepada usaha murni ini. Insya-Allah," katanya dalam catatan Facebook dan Twitternya, malam ini.
Kapal Nautical Aliya yang tiba di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang pada kira-kira 10 pagi tadi disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta anggota keluarga 183 sukarelawan misi berkenaan.
Nautical Aliya berlepas keluar dari Pelabuhan Klang pada 3 Feb lepas membawa 2,300 tan makanan dan barangan keperluan untuk etnik Rohingya di Myanmar dan pelarian Rohingya di Bangladesh.
Ia berlabuh di Pelabuhan Yangon pada 9 Feb dan menurunkan sebahagian daripada barangan bantuan itu dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke pelabuhan Chittagong pada 14 Feb untuk menurunkan keseluruhan barangan bantuan itu di sana.
Bantuan di Bangladesh itu adalah untuk diagihkan di tiga kem pelarian di Kutupalong, Cox's Bazar dan Teknaf dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran.
-- BERNAMA