PM Najib tetap dapat penghormatan tinggi di Australia

Bernama
Mac 17, 2018 21:12 MYT
Perdana Menteri berucap pada majlis penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan yang merupakan sebahagian daripada program sidang kemuncak khas itu di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney pada Sabtu. - Foto Bernama
Tindakan sesetengah pihak yang mahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia tidak diberikan sambutan istimewa sewaktu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di sini tidak mendapat perhatian kerajaan Australia.
Sebaliknya, Najib diberikan penghormatan istimewa terutama apabila menjadi satu-satunya pemimpin dari ASEAN yang dijemput memberi ucapan pada majlis penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan yang merupakan sebahagian daripada program sidang kemuncak khas itu di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney.
Seorang pemimpin lagi yang berucap pada majlis penutup itu pada Sabtu adalah Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.
"Alhamdulillah, saya dapat penghormatan yang boleh dikatakan teristimewa. Untuk ucapan (pada majlis penutup persidangan itu), saya seorang sahaja yang dijemput. Pada majlis makan malam pun saya duduk di sebelah Perdana Menteri Turnbull.
"Kalau ada pihak cuba supaya saya tidak diberikan sambutan, nampaknya (permintaan mereka) ditolak dan gagal. Kerajaan Australia tetap beri penghormatan yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia," kata Najib kepada media Malaysia di sini, hari ini.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 yang diadakan hujung minggu ini diadakan untuk membincangkan hala tuju masa depan dan kerjasama antara ASEAN dan Australia.
Selain itu, sidang kemuncak khas berkenaan juga diadakan untuk memperingati peningkatan hubungan ASEAN-Australia ke taraf rakan strategik.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia melibatkan tiga sesi iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Australia dan Persidangan Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia.
Ini adalah kali pertama Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak bersama semua pemimpin ASEAN.
-- BERNAMA
#ASEAN #Australia #keganasan #kerajaan #Malaysia #Media #Najib Razak #Perdana Menteri #PM #Sydney
;