PM Najib sertai Larian Obor KL 2017
Ogos 6, 2017 12:54 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai Larian Obor KL 2017 bersempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean kesembilan.
Perdana Menteri menyempurnakan larian beliau bermula dari pekarangan KLCC ke Menara Naza di Persiaran KLCC.
Larian bermula kira-kira jam 9 pagi sebaik perdana menteri menerima obor daripada ketua pegawai eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin di pekarangan menara kembar Petronas KLCC.
Obor kemudian dibawa melalui pekarangan Hotel Traders di mana ia kemudian diserahkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebelum kedua-duanya menyambung larian ke Menara Naza.
Larian itu turut diiringi lebih 200 pelari.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan pengerusi eksekutif Naza World Group of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.