PM Najib sampaikan bantuan bulanan RM10.2 juta kepada 2,795 penerima di Temerloh
Bernama
April 20, 2017 18:25 MYT
April 20, 2017 18:25 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan bantuan bulanan peruntukan Persekutuan berjumlah RM10.2 juta kepada seramai 2,795 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dari sekitar bandar ini.
Pada majlis yang berlangsung di Masjid Baharu Daerah Temerloh, penerima terdiri daripada 1,229 warga emas, kanak-kanak (608), pekerja cacat anggota (508) dan orang kurang upaya (OKU) (447).
Najib yang turut menunaikan solat Zuhur berjemaah dengan lebih 500 penduduk di masjid itu, juga menyampaikan elaun sara hidup berjumlah RM252,000 kepada 105 nelayan darat daerah ini serta sumbangan berjumlah RM14,700 kepada 49 mangsa ribut di Taman Murni, Lanchang, dekat sini pada Jumaat lalu.
Perdana menteri turut menyampaikan bantuan berbentuk barangan kepada 300 anggota Persatuan Pesara Kerajaan, Persatuan Pesara Polis, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang diserahkan kepada wakil setiap persatuan.
Dalam pada itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut meluangkan masa menziarahi dua keluarga yang menjadi mangsa banjir besar di daerah ini pada 2014.
Hasmah Ibrahim, 74, jelas amat terharu dengan kesudian perdana menteri dan isterinya untuk bertanya khabar tentang keadaan keluarganya, yang menurutnya mencerminkan ketokohan Najib sebagai pemimpin yang prihatin dengan nasib rakyat walaupun mempunyai lebih banyak tugasan penting yang lain.
"Rasa terharu dan gembira... tak sangka perdana menteri dan isteri sanggup turun padang melawat rumah kami dan melihat sendiri proses membaik pulih rumah ini," katanya kepada Bernama.
Hasmah yang merupakan ibu tunggal dan tinggal bersama-sama tiga anak dan seorang cucu berkata, dalam kejadian banjir pada tiga tahun lepas, rumahnya ditenggelami air hampir dua minggu menyebabkan mereka sekeluara terpaksa berpindah ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah.
Kejadian itu, katanya mengakibatkan kesemua barangan di dalam rumah rosak dan lantai rumah di ruang tamu hingga ke dapur mereput akibat terlalu lama ditenggelami air, namun masih belum dibaiki kerana kekangan kewangan.
"Sejak banjir lepas kami terpaksa berhati-hati ketika berjalan di dalam rumah untuk elak terpijak pada lantai reput terutama pada waktu malam, namun Alhamdulillah kehadiran perdana menteri membawa khabar gembira menerusi Program Jom Bantu Rakyat hari ini," katanya.
Menerusi program itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan agensi lain berganding bahu membaik pulih rumah Hasmah, malah Najib dan Rosmah sendiri turut membantu mengecat rumah wanita itu.
Seorang lagi mangsa banjir A. Ghani A. Rahman, 79, dan isteri Semah Mat Satin, 68, dari Kampung Baru Padang Kerbau turut berkongsi perasan gembira dengan kunjungan perdana menteri dan isteri.
"Pada 2014 memang banjir teruk di sini dan air memasuki rumah hingga ke paras bumbung, jadi semua barang dalam rumah dihanyutkan air banjir dan rosak. Hasil bantuan daripada perdana menteri rumah kami kini dilengkapi dengan sofa, kipas angin serta almari pakaian dan rak pinggan mangkuk.
"Selain itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sedang buat tandas baharu di rumah kami untuk keselesaan kami sekeluarga. Saya sangat berterima kasih kepada perdana menteri kita," katanya. -- BERNAMA