PM Najib rakam penghargaan kepada kerajaan FIlipina
Harits Asyraf Hasnan
Mac 27, 2017 11:39 MYT
Mac 27, 2017 11:39 MYT
Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Filipina kerana membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang diculik pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai, 2016.
"Mereka telah pun ditemukan dengan ahli keluarga masing-masing di kediaman saya. Apa yang penting kerajaan Malaysia akan terus membantu mangsa baik dari segi rawatan mahu pun kebajikan untuk memastikan mereka kembali pulih seperti sedia kala.
"Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Filipina, kerajaan negeri Sabah, Wisma Putra, polis dan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di atas urusan membawa pulang mangsa-mangsa dengan selamatnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terkini, Komander Esscom Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik, Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, berjaya diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu.
Najib sebelum itu mengadakan pertemuan dengan dua rakyat Malaysia yang diselamatkan lebih awal, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, di kediaman.
Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki mereka, ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven di Lahad Datu.